Mohd. Naim Mokhtar

KUALA LUMPUR – Dakwaan beberapa pihak kononnya sekolah agama di Selangor diarah tutup adalah tidak berasas, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Na’im Mokhtar.

Katanya, dakwaan itu juga satu tuduhan tidak bertanggungjawab kerana selepas insiden kebakaran melibatkan kemalangan jiwa di sekolah agama persendirian di Kuala Lumpur pada 2017, kerajaan telah membangunkan Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor.

Katanya, garis panduan itu dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2021 bertujuan memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar dan seluruh warga institusi tahfiz persendirian.

“Inisiatif ini diambil sebagai langkah supaya tragedi meragut nyawa tidak berulang lagi di mana-mana sekolah agama di negeri Selangor.

“Pada masa sama, penguatkuasaan garis panduan tersebut telah mendapat kerjasama daripada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang dianggotai 478 institusi Sekolah Agama Persendirian,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Sebelum ini, gabungan NGO Islam Selangor dan Negeri Sembilan menyuarakan rasa bimbang terhadap isu amaran penutupan sekolah agama di negeri itu.

Pengerusi Sekretariat NGO berkenaan, Datuk Nazilah Idris dilaporkan berkata, kira-kira 200 sekolah agama di Selangor didakwa mendapat surat amaran untuk keluar dari premis perniagaan.

Beliau mendakwa, lebih 200 sekolah agama rakyat dinafikan apabila mereka diberikan surat amaran untuk keluar daripada premis perniagaan yang disewanya.

Menurut Dr. Na’im, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah dimaklumkan sejak 2021, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui kerajaan negeri telah menetapkan pihak sekolah perlu memenuhi syarat pendaftaran melalui Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama yang telah dikeluarkan.

Kata beliau, kelonggaran telah diberikan kepada pihak sekolah selama dua tahun dan dalam tempoh itu, JAIS telah mengeluarkan pendaftaran lanjutan kepada pihak sekolah bagi memberi peluang mereka mendapatkan ulasan dari agensi yang berkaitan.

Justeru, tegas beliau, dakwaan pihak berkaitan kononnya amaran telah diberikan kepada sekolah agama persendirian supaya diarah keluar dari premis adalah tidak benar sama sekali dan berniat menimbulkan kegelisahan di kalangan umat Islam.

“Semua pihak adalah digesa supaya merujuk isu ini kepada pihak berautoriti supaya fakta dan konteks sesuatu isu itu tepat serta jelas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast