Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani Serta Pusat Penjana Madani Jalan Tasik Selatan 2A, Desa Tasik, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 17 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri yang ditadbir pembangkang akan ditentukan oleh sikap pemimpin yang mentadbir negeri terbabit.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerjasama kedua-dua pihak turut bergantung terhadap tindakan yang akan diambil oleh pemimpin pembangkang.

Anwar berkata, beliau akan memastikan semua pihak mengikut tatakelola dan bertegas mengenai aspek kewangan.

“Terserah kepada sikap mereka, kalau mereka mahu kerjasama saya akan ikut kaedahnya, bukan sahaja dari segi kenyataan, juga tindakan. Saya mahu pastikan semangat tatakelola itu betul.

“Mahu wang untuk orang miskin, bagi orang miskin. Jangan untuk orang miskin jangan dialih ke lain. Saya akan tegas bab ini,” kata Anwar.

Beliau ditanya mengenai kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Kedah, Terengganu dan Kelantan yang dikuasai semula oleh parti pembangkang.

Anwar ditemui selepas merasmikan projek Residensi Wilayah, Residensi Prihatin Madani dan Pusat Penjaja Madani di Desa Tasik hari ini.

Dalam PRN yang berlangsung Sabtu lalu kesemua DUN di Terengganu dikuasai oleh Perikatan Nasional, manakala di Kelantan hanya dua kerusi dikuasai Kerajaan Perpaduan selebihnya 43 kerusi dikuasai PN dan di Kedah 33 kerusi dikuasai oleh PN dan hanya 3 oleh Kerajaan Perpaduan.-MalaysiaGazette