AMPANG – Sebanyak 27 buah motosikal yang diubahsuai secara melampau dengan kos mencecah ribuan ringgit berjaya disita oleh polis dalam operasi di Jalan Bunga Raya, Ampang Jaya semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, Op Motosikal itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada jam 7.30 pagi Rabu.
“Hasilnya, sebanyak 27 buah motosikal membabitkan jenis Yamaha LC135 (14), Yamaha Lagenda (5), Honda Wave (4), Yamaha Ego (2) dan Honda EX5 (2) telah berjaya disita polis.
“Kesemua motosikal itu disita selepas pemeriksaan lanjut polis mendapati ia diubah suai secara melampau termasuk menggunakan ekzos bising, tayar sotong selain tiada brek belakang yang boleh mengancam aspek keselamatan diri dan juga pengguna lain atas jalan raya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau dalam operasi sama, sejumlah motosikal yang digunakan oleh warga asing tanpa lesen memandu kenderaan yang sah turut disita untuk tindakan lanjut.
“Kesemua motosikal yang disita itu telah dibawa ke BSPT IPD Ampang Jaya untuk proses dokumentasi dan memanggil pemilik untuk tindakan selanjutnya.
“Tindakan sitaan telah dilaksanakan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6(4) akta yang sama.
“Dalam operasi yang sama, polis turut mengeluarkan sebanyak 61 saman atas pelbagai kesalahan melanggar peraturan jalan raya terutamanya tiada lesen memandu yang sah, kesalahan nombor pendaftaran, ubah suai struktur kenderaan seperti ekzos, tidak patuh pada tunjuk arah dan brek tidak berfungsi dengan baik,” katanya lagi.
Tegas Mohd Azam lagi, operasi berkenaan bertujuanmengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan lalu lintas terutamanya bagi pengguna motosikal.
Menurut beliau, ia adalah berikutan statistik kemalangan yang direkodkan menunjukkan peningkatan yang tinggi di kalangan pengguna kenderaan ringan seperti motorsikal dan polis mempunyai komitmen tinggi dan tanggungjawab serius untuk menangani masalah tersebut secara holistik.
“Polis mahu mengingatkan semua pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal agar tidak melakukan sebarang pengubahsuaian pada mana-mana struktur asal kenderaan yang boleh menjadi punca kepada berlakunya kemalangan serta gangguan kepada ketenteraman awam.
“Polis akan sentiasa menjalankan operasi penguatkuasaan demi membanteras pesalah-pesalah lalu lintas yang sering mengabaikan peraturan jalan raya yang telah ditetapkan,” katanya.-MalaysiaGazette