KUALA LUMPUR – Seorang wanita Cina yang dilarang berurusan dalam sebuah balai polis di Perak kerana skirtnya dikatakan tidak cukup panjang terlah menggunakan pelapik tempat duduk untuk “memanjangkan” pakaian.
Selepas hantaran media sosialnya tersebar, wanita itu YANG dihubungi Oriental Daily menjelaskan dia perlu berurusan di balai polis kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Katanya, disebabkan hujan, kedua-dua pasang seluar panjang yang ada belum kering.
Wanita itu memilih memakai skirt panjang lepas paras lutut ke balai polis kerana memahami perlu menghormati agensi kerajaan.
Menurutnya, apabila tiba di sebuah balai polis di Perak, dia diberitahu bahawa skirtnya perlu melitupi sekurang-kurangnya separuh bahagian anak kaki.
“Disebabkan menghampiri waktu makan tengah hari dan berlaku hujan lebat, saya tidak mahu membazirkan masa untuk datang semula.
“Tiba-tiba timbul idea untuk mengikat pelapik tempat duduk pada bahagian kaki menggunakan pengikat rambut dan baju luaran untuk mengelakkannya jatuh,” katanya.
Wanita itu memberitahu polis dia telah mencuba sedaya-upaya dan polis juga membenarkan dia masuk walaupun ramai yang menahan gelak melihat penampilannya yang “kreatif”. – MalaysiaGazette