SHAH ALAM – Jalan utama di Perumahan Elmina 8, Seksyen U16, di sini yang ditutup sejak semalam berikutan nahas pesawat ringan semalam dibuka semula pada jam 3 petang.
Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Shamsol Maarif Saibani berkata, pihaknya memulakan kerja-kerja membersih Persiaran yang dicemari bahan pesawat itu pada jam 12.30 tengah hari.
“Polis pun sudah memberi kebenaran untuk kita membuka semula jalan ini bagi kegunaan awam mulai 3 petang ini.
“Segala serpihan pesawat dan cebisan sakit baki mayat yang mungkin ditinggalkan diperiksa dan dikumpul sepenuhnya,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Persiaran Elmina ditutup semalam selepas pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang terhempas pada jam jam 2.48 petang.
Dalam kejadian itu kesemua orang yang berada dalam pesawat tersebut terkorban manakala dua orang awam iaitu seorang penunggang motosikal dan pemandu e-hailing meninggal dunia.
Menurut Shamsol, bangkai pesawat dan kereta yang terlibat kejadian tersebut masih tersadai di tepi jalan tersebut dan ia akan digunakan sebagai bahan bukti untuk siasatan yang dilakukan pihak berkuasa pada Isnin ini. – MalaysiaGazette