Razarudin Husain

SHAH ALAM – Pemandu e-hailing yang terkorban dalam nahas pesawat ringan di Perumahan Elmina 8 Central Park, Seksyen U16, tidak membawa penumpang semasa kejadian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain@Abd Rasid berkata, pihaknya menerima pengesahan maklumat itu selepas semakan dibuat dengan penyedia khidmatan e-hailing tersebut.

“Semasa kejadian kita mendapati dia (pemandu e-hailing) sudah berhenti daripada mengambil tempahan baharu daripada penumpang,” katanya dalam sidang media di lokasi kemalangan, di sini, hari ini.

Beliau menyatakan demikian berikutan timbul persoalan sama ada terdapat penumpang dalam kenderaan e-hailing yang terbabit dalam nahas tersebut.

Semalam sebuah pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang membawa lapan penumpang termasuk dua kru terhempas di Perumahan Elmina 8 Central Park.

Dalam kejadian jam 2.48 petang itu semua yang berada dalam pesawat tersebut terkorban manakal dua orang awam iaitu seorang penunggang motosikal dan pemandu e-hailing meninggal dunia.

Sementara itu, Razarudin meminta kerjasama pemandu kenderaan yang merakam video papan pemuka (dashcam) ketika kejadian membantu siasatan. – MalaysiaGazette