KUALA LUMPUR – Pasukan Kuala Lumpur City berjaya menempah slot ke suku akhir selepas menumpaskan Penang FC 1-0 pada pertemuan kedua pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
Gol tunggal menerusi penyerang KL City FC, Tchetche Kipre pada separuh masa kedua cukup untuk memastikan skuad The City Boys mengesahkan slot ke suku akhir menerusi agregat 5-0.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan kurang melakukan gerakan berbahaya berikutan keadaan padang yang agak basah dan hujan renyai.
Bagaimanapun, KL City terpaksa beraksi dengan 10 pemain bermula minit ke-15 apabila Giancarlo Gallifuoco dilayangkan kad merah kerana mengasari Sonny sebelum sepakan percuma Sonny diselamatkan Azri Ghani
Memasuki babak kedua, pasukan pelawat bermain dengan agak agresif dengan sering melakukan serangan berbahaya ke kubu tuan rumah.
Namun, kecemerlangan penjaga gol KL City, Azri Ghani berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya lima sepakan daripada luar kotak penalti untuk memastikan gawang pasukan tuan rumah tidak bocor.
Gol yang dinanti akhirnya muncul apabila kesilapan pertahanan Penang, Rafael Vitor yang gagal mengawal bola dengan kemas dan disambar Kipre sebelum meletakkan KL City di hadapan pada minit ke-70 untuk kedudukan 1-0.
Keputusan itu kekal sehingga wisel penamat, sekali gus menyaksikan KL City FC sebagai pasukan pertama mengesahkan slot ke suku akhir Piala Malaysia.