Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin bercakap kepada media mengenai perkembangan mangsa nahas pesawat terhempas ketika di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Foto MOHD ADZLAN, 19 OGOS 2023.

KLANG – Kerajaan negeri Pahang menyerahkan hal berkaitan pengebumian nahas pesawat di Bandar Elmina, Seksyen U16, Shah Alam pada Khamis kepada waris dan keluarga mereka.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, ini kerana perkara tersebut merupakan hak mereka.

“Berkaitan soal (pengebumian) itu, maaf saya tidak dapat beri komen lanjut, gusar seandainya salah cakap dan kemudiannya timbul pula pelbagai spekulasi lain,” katanya di perkarangan Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas laporan media bahawa jenazah mangsa nahas pesawat itu mungkin dikebumikan dalam satu liang lahad sekiranya dipersetujui oleh waris dan keluar mangsa.

Perkara itu dimaklumkan melalui taklimat ringkas pihak berkuasa kepada kesemua waris mangsa nahas semasa menunggu di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Bagaimanapun, semua waris diberikan hak untuk mengebumikan jenazah di mana sahaja termasuk di kampung masing-masing.

Pada Khamis lalu, sebuah pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang membawa lapan penumpang termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Pelangai, Datuk Seri Johari Harun terhempas di Perumahan Elmina 8 Central Park.

Dalam kejadian jam 2.48 petang itu semua yang berada dalam pesawat tersebut terkorban manakala dua orang awam iaitu seorang penunggang motosikal dan pemandu e-hailing meninggal dunia. – MalaysiaGazette