prn tanggungjawab
BN yang diwakili UMNO hanya menang 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi pada enam PRN.

KUALA LUMPUR – Keputusan enam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini merupakan tanggungjawab bersama yang mesti digalas dan dimuhasabah oleh semua pihak dalam UMNO.

Majlis Ulama UMNO berkata, tanggungjawab itu bukan hanya atas individu-individu tertentu sahaja.

“Setiap ahli dan pemimpin perlu terus bangkit memimpin kekalahan agar bertukar menjadi kemenangan pada masa hadapan.

“Rasulullah SAW dan sahabat terus bangkit pasca kekalahan umat Islam dalam perang Uhud menentang musyrikin akibat kegagalan patuh kepada arahan baginda sebagai pemimpin, akhirnya diganti dengan kemenangan besar dalam perang Ahzab,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ketika ini, timbul desakan daripada akar umbi UMNO agar pucuk pimpinan memikul tanggungjawab atas prestasi buruk UMNO dalam PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada 12 Ogos lalu.

UMNO selaku satu-satunya parti yang mewakili BN pada enam PRN tersebut hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi.

Majlis Ulama UMNO memberitahu, pilihan raya adalah medan mengukur kekuatan parti dari semasa ke semasa dan sebaik sahaja ia berakhir, ahli-ahli parti perlu segera bangkit semula menyusun gerak kerja dan strategi baharu dengan lebih baik.

“Proses pentarbiahan ahli di akar umbi mesti digerakkan dengan lebih lancar untuk terus membina kesetiaan kepada perjuangan parti sebagaimana digariskan oleh Perlembagaan UMNO iaitu berjuang mendukung cita-cita agama Islam, kebangsaan Melayu, bumiputera, anak negeri Sabah dan Orang Asli serta perpaduan Malaysia demi kemakmuran dan kestabilan negara,” jelasnya.

Katanya lagi, ahli-ahli UMNO mesti bangkit bersatu meneruskan perjuangan itu tanpa kenal penat serta lelah demi agama, bangsa dan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast