Muhammad Azeem Mohd Fahmi.

KUALA LUMPUR – Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi menepati ramalan layak ke pusingan pertama acara 100 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Dunia 2023 selepas mendominasi pusingan kelayakan di Budapest, Hungary, hari ini.

Pada perlumbaan pusingan kelayakan di Pusat Olahraga Nasional itu, Muhammad Azeem yang berlari di lorong tiga saringan dua, tidak menerima tentangan sengit apabila jauh meninggalkan pencabar lain untuk menjadi yang pertama melintas garisan penamat dengan catatan masa 10.24 saat (s).

Tempat kedua saringan itu menjadi milik Brandon Jones dari Belize yang merakam masa 10.94s sekali gus mengiringi Muhammad Azeem ke peringkat saringan apabila dua pelari terpantas setiap saringan bersama dua pelari dengan catatan terbaik berikutnya layak ke pusingan seterusnya.

Catatan masa 10.24s direkodkan Muhammad Azeem adalah yang terpantas bagi pusingan kelayakan diikuti Emanuel Archibald dari Guyana yang berlari dalam saringan satu di tempat kedua (10.27s) dan Ebrahima Camara dari Gambia yang beraksi dalam saringan empat di tempat ketiga dengan masa 10.32s.

Seramai 10 pelari dari pusingan kelayakan mara ke peringkat saringan yang dijadual berlangsung kira-kira 1.40 pagi ini waktu Malaysia.

Muhammad Azeem yang membuat penampilan pertamanya di Kejohanan Dunia tahun ini merupakan pemegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09s yang dicipta pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia, Ogos tahun lepas.

Catatan terbaik atlet kelahiran Perak berusia 19 tahun itu musim ini adalah 10.11s yang dilakukan di Amerikat Syarikat, Mei lepas. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast