IPIC SMPC Akmal semakan kehakiman Pemuda UMNO Al-Aqsa parti politik
Dr Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mendesak Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menyiasat kesahihan dokumen yang didakwa ‘memo dalaman’ oleh pasukan pendakwaan dalam kes International Petroleum Investment Company (IPIC) yang tular baru-baru ini.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata, sekiranya sahih dokumen yang tular tersebut adalah benar, Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu mengambil tindakan sewajarnya dengan menarik balik enam pertuduhan yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Abdullah.

Menurut beliau, langkah itu adalah selaras dengan rekomendasi dalam dokumen tersebut bahawa pasukan pendakwaan IPIC yang sebulat suara mengambil pendirian bahawa enam pertuduhan tersebut tidak memenuhi kehendak minimum untuk pertuduhan pecah amanah (CBT) bagi mendapatkan kes prima facie.

“Seandainya juga isi kandungan dokumen tersebut adalah sahih, Pemuda UMNO mendesak satu siasatan dibuat bagi menyiasat sama ada wujud salah guna kuasa dan kedudukan oleh individu tertentu yang bertentangan dengan undang-undang bagi memastikan kes pertuduhan diteruskan terhadap Najib.

“Bahkan, elemen pendakwaan politik seperti ini untuk memberi imej negatif dan mendatangkan kerugian tidak wajar berlaku,” katanya dalam hantaran Facebook, malam tadi.

Kelmarin, Idrus berkata, AGC sedang menyiasat dakwaan kebocoran dokumen berkaitan pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion dana kerajaan membabitkan pembayaran kepada IPIC.

Dokumen yang mengandungi 12 muka surat itu didakwa ditujukan kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Dr Akmal menambah, negara juga telah mengalami kerugian dengan hanya memperoleh semula AS$1.8 bilion berbanding rundingan yang dipersetujui sebanyak AS$7 bilion antara pentadbiran Najib dengan IPIC.

“Pemuda UMNO mengambil serius perkara tersebut memandangkan dakwaan pendedahan-pendedahan yang dicatatkan dalam dokumen itu mengandungi rumusan keterangan terperinci yang dengan jelas memberikan kesan kepada kes enam pertuduhan terhadap Najib yang masih berjalan di mahkamah,” jelasnya.

Beliau memberitahu, Pemuda UMNO sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang yang bertujuan memastikan kebenaran dan keadilan sentiasa ditegakkan.

“Pemuda UMNO tidak akan bertolak ansur dan akan menentang tegas mana-mana cubaan daripada mana-mana pihak yang ingin menyalahgunakan undang-undang bagi kepentingan peribadi,” tegasnya. – MalaysiaGazette