Hussein Omar Khan depan Jabatan Forensik HTAR malam ini di Klang.

KLANG – Baki sembilan jenazah mangsa nahas pesawat terhempas di Persiaran Elmina 8, Seksyen U16, Shah Alam pada Khamis lalu boleh dituntut oleh waris dan ahli keluarga mulai hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ini kerana proses mengenal pasti identiti mayat yang menggunakan kaedah pemadanan sampel DNA selesai pada hari ini dan proses penyerahan jenazah akan dilakukan secara teratur.

“Saya telah menghadiri mesyuarat bersama semua agensi yang terbabit bencana berkenaan sebentar tadi bermula 8.30 malam ini dan dimaklumkan bahawa keputusan ujian DNA untuk kesemua mangsa sudah diperolehi dan identiti mangsa juga berjaya dikenal pasti.

“Kita kemudian telah memutuskan untuk menyerahkan jenazah kesemua mangsa terkorban itu kepada waris dan ahli keluarga masing-masing bermula jam 9 pagi esok (Ahad),” katanya dalam sidang media di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, malam semalam.

Pada Khamis lalu, sebuah pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang membawa lapan penumpang termasuk dua kru terhempas di Perumahan Elmina 8 Central Park.

Dalam kejadian jam 2.48 petang itu semua yang berada dalam pesawat tersebut terkorban manakala dua orang awam iaitu seorang penunggang motosikal dan pemandu e-hailing meninggal dunia.

Daripada 10 mangsa nahas tersebut, mayat pertama yang merupakan penunggang motosikal p-hailing dituntut ahli keluarga pada jam 9.30 pagi Sabtu.

Jenazah Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda, Kampung Jerung, Sungai Petani, Kedah.

Tambah beliau, pihak polis akan menghubungi dan memaklumkan kepada setiap waris dan ahli keluarga mengenai penyerahan jenazah bermula pada malam ini.

Menurut Hussein, jenazah akan diuruskan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk dibawa ke Masjid Al-Rahimiah, di sini, untuk disolatkan sebelum dibawa ke kawasan pengebumian yang diaturkan waris dan ahli keluarga masing-masing.

“Pegawai penyiasat kami akan menghubungi setiap waris mangsa untuk meminta mereka membuat laporan polis dan dalam hal ini kita akan menjelaskan dan membimbing keluarga mangsa tentang prosedur membuat laporan itu agar memudahkan proses serahan jenazah esok di Jabatan Forensik di sini (HTAR),” ujarnya. – MalaysiaGazette