KLANG – Kesemua 10 jenazah yang terkorban dalam tragedi pesawat terhempas di kawasan perumahan Elmina dekat Shah Alam pada Khamis lalu selesai urusan solat jenazah di Masjid Jamek Al Rahimiah di sini hari ini.
Semua jenazah kecuali Allahyarham Muhammad Hafiz Muhamad Saleh – penunggang motosikal dituntut semalam.
Kesemua jenazah dibawa pulang ke lokasi masing-masing untuk urusan pengebumian.
Jenazah Muhammad Hafiz dituntut ahli keluarga pada pukul 9.30 pagi semalam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda, Kampung Jerung, Sungai Petani, Kedah.
Urusan bedah siasat dan pemadanan DNA bagi sembilan mayat selesai malam tadi dan ahli keluarga serta waris menuntut jenazah pagi ini.
Terdahulu, sembilan jenazah dibawa ke Masjid Jamek Al Rahimiah Klang untuk disolatkan sebelum diserahkan kepada ahli keluarga dan waris bagi urusan solat kali kedua dan pengebumian di lokasi masing-masing.
Jenazah Allahyarham Datuk Seri Johari Harun antara yang terawal dibawa keluar dari bilik bedah siasat Jabatan Forensik HTAR iaitu pukul 9.28 pagi.
Diikuti jenazah kedua, Allahyarham Mohammad Taufiq Mohd Zaki, Allahyarham Khairil Azwan Jamaludin, Allahyarham Sharipuddin Shaari, Allahyarham Mohamad Naim Fawwaz Mohamad Muaidi, Allahyarham Shaharul Amir Omar manakala dua lagi jenazah tiba sekitar pukul 11.30 pagi di masjid iaitu Allahyarham Shahrul Kamal Roslan dan Allahyarham Heikal Aras Abdul Azim.
Ramai ahli keluarga yang mulanya berkumpul di pekarangan HTAR mula memenuhi Masjid Jamek Al Rahimiah Klang untuk urusan solat jenazah oleh kira-kira 300 kariah termasuk waris.
Semua jenazah diiringi pengiring polis untuk dibawa ke lokasi pengebumian masing-masing. – MalaysiaGazette