Van yang membawa jenazah mangsa yang terlibat dengan nahas pesawat di Elmina ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Foto WAN NABIL NASIR, 20 OGOS 2023.

KLANG – Semua sembilan jenazah mangsa pesawat terhempas Khamis lalu diserahkan kepada waris masing-masing pagi ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, selepas selesai semua proses bedah siasat dan pemadanan DNA, jenazah akan diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk urusan solat.

“Polis bersama HTAR dan Jabatan Kimia Malaysia telah selesai proses post-mortem dan DNA tengah malam tadi. Kita terima hampir semua sampel yang dihantar sebelum ini dan kita telah putuskan malam tadi semua mangsa terlibat nahas telah dikenal pasti dan bersedia untuk diserahkan kepada waris dan ahli keluarga pagi ini.

“Daripada proses itu, ada yang menggunakan kaedah DNA dan onkologi serta polis telah mengesahkan bahawa mangsa yang terkorban yang pertama ialah Datuk Seri Johari Harun,” katanya pada sidang media di pekarangan Jabatan Forensik HTAR di sini hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan. Foto WAN NABIL NASIR, 20 OGOS 2023.

Beliau berkata, mangsa lain ialah Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib Ramali.

“Inilah mangsa yang terkorban dan telah dikenal pasti di mana jenazah mereka akan diserahkan kepada waris pagi ini.

“Saya juga mengesahkan tiada lagi mana-mana individu terlibat dalam nahas itu. Hanya 10 mangsa iaitu lapan dalam pesawat dan dua mangsa di jalan raya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast