Pemilik Kelab Kelantan FC, Norizam Tukiman . Foto MUHD NA’IM 20 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau dikenali Zamsaham mengenai kegagalan pasukan itu mendaftarkan pemain import baharu gara-gara kesilapan badan bola sepak itu.

Malah FAM tampil menafikan segala tuduhan yang dilontarkan terhadap mereka dengan memberi penjelasan mengenai kronologi perkara yang berlaku menerusi laman media sosial rasmi badan itu.

Menurut FAM, mereka telah sehabis baik cuba membantu kelab dari Pantai Timur itu daripada segi proses dan rayuan terhadap Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Tarikh 1 Ogos 2023 merupakan hari terakhir jendela perpindahan kedua pemain dan Pegawai TMS FAM mendapati masih tiada permohonan ITC yang didapati dalam sistem TMS bagi Kelantan untuk permohonan ITC pemain-pemain yang baharu. Sehingga tarikh ini, Kelantan masih lagi memaklumkan bahawa akaun TMS pasukan yang dipegang oleh bekas pegawai mereka masih tidak dapat diakses kerana mengalami masalah log masuk.

“Kelantan hanya memohon kepada FIFA melalui e-mel untuk penukaran dan pelantikan akaun TMS yang baharu pukul 11.15 malam iaitu 45 minit sebelum tempoh perpindahan ditutup.

“Pada tarikh ini juga, terdapat beberapa pasukan lain yang telah memohon ITC dan DTC (Sjili Perpindahan Domestik) pemain di saat akhir dan kesemuanya berjaya disempurnakan oleh Pegawai TMS FAM tanpa sebarang masalah log masuk atau masalah teknikal lain.

“Pada 3 Ogos, FAM telah menerima permohonan daripada Kelantan untuk pelantikan akaun TMS yang baharu dan telah mengambil tindakan segera berkenaan perkara tersebut dengan menghantar pemohonan tersebut kepada FIFA.

“FIFA kemudiannya telah meluluskan permohonan tersebut dan Norizam Tukiman telah dilantik menjadi pemegang akaun TMS Kelantan yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan.

FAM juga telah menghantar surat permohonan rasmi kepada FIFA untuk melanjutkan tempoh pendaftaran kedua pemain.

“FIFA memaklumkan permohonan tersebut adalah ditolak disebabkan tempoh tersebut hanya boleh diubah sebelum tempoh pendaftaran pemain tersebut bermula,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Sebelum ini, Zamsaham yang membuat perkongsian kronologi berkenaan di laman Facebook mendakwa FAM sudah maklum mengenai masalah sistem TMS yang dihadapi Kelantan dari 27 Julai lalu.

“Apa pun, saya hanya mahu pemain asing saya didaftarkan. Janganlah hanya ada orang yang tidak suka akan saya atau Kelantan FC, hak untuk mendaftar pemain baru dinafikan,” tulisnya. – MalaysiaGazette