KUANTAN – Polis mengesahkan tangkapan telah dibuat ke atas dua lelaki berkaitan kegiatan penjualan bintang dan lencana darjah kebesaran negeri Pahang melalui platform e-dagang tanpa kebenaran.
Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, suspek yang berusia 40 dan 52 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berbeza pada 8 Ogos lalu.
Kedua-dua suspek ditahan di dua premis perniagaan berbeza di Puchong, Selangor dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada pukul 4.45 dan 5.30 petang.
“Selain itu, polis juga telah merampas beberapa barang kes melibatkan penjualan lambang seperti pelekat sticker kereta dan Jata Negeri Pahang. Kes masih dalam siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Pahang yang diadakan di Kompleks Logistik, Alor Akar di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, Datuk Noor Hisam Nordin telah dilantik semula sebagai Timbalan Ketua Polis Pahang berkuatkuasa 30 Ogos ini selepas bertugas sebagai Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.
Jawatan tersebut sebelum ini dipangku Datuk Mohd Yusri Othman yang juga Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang selama hampir tujuh bulan.
Mengulas berkenaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Yahaya memberitahu, pihaknya hanya menunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk persediaan lanjut.
“Polis Kontinjen Pahang sentiasa bersiap sedia dari aspek keanggotaan dan aset jika ada Pilihan Raya Kecil (PRK) (Pelangai).
“Pihak kami hanya menunggu keputusan dan arahan daripada SPR berkenaan tarikh-tarikh utama seperti Penamaan Calon dan Hari Mengundi,” jelasnya.
Hari ini Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin telah menyerahkan notis kekosongan kerusi DUN Pelangai kepada SPR berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun pada Khamis lalu. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Polis kenal pasti pihak jual bintang, lencana darjah kebesaran Pahang