Datuk Seri Yahaya Othman (tengah) sempat menyantuni anggota polis sebelum bertolak ke Terengganu membantu kelancaran PRN 12 Ogos ini

KUANTAN – Polis Pahang telah mengenal pasti pihak yang terlibat dalam kegiatan penjualan bintang dan lencana darjah kebesaran negeri Pahang melalui platform e-dagang tanpa kebenaran.

Namun tangkapan masih belum dapat dibuat ekoran siasatan masih dijalankan, kata Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman.

Pada bulan lalu, beliau memaklumkan pihaknya menerima laporan kegiatan penjualan bintang dan lencana darjah kebesaran negeri Pahang yang dijual pada harga melebihi RM1,000 setiap set.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3(1)(c) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017.

“Kita turut mengenal pasti platform dalam talian mana yang paling banyak menjalankan kegiatan menjual set darjah kebesaran itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pelepasan Flag-Off Bantuan Sumber Manusia (BSM) Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri ke 15 (DUN 15) di Padang Kawad Kompleks Logistik Alor Akar PDRM Kuantan di sini hari ini.

Datuk Seri Yahaya Othman

Mengulas berkenaan acara flag-off pagi ini, sebahagian daripada 881 keseluruhan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, Rompin, Maran dan Kuantan mula bertolak ke lokasi penempatan yang telah ditetapkan pagi ini.

Selain itu sebahagian lagi daripada anggota polis Kontinjen Pahang yang terbabit iaitu dari IPD Cameron Highlands dan IPD Lipis pula akan memulakan perjalanan daripada lokasi masing-masing secara serentak.

“Kontinjen Pahang menghantar pegawai dan anggota ke lima buah daerah di Terengganu iaitu di Besut, Marang, Dungun, Hulu Terengganu dan Kemaman di mana mereka akan mengawal keselamatan di pusat-pusat mengundi dan di saluran yang telah ditetapkan,” jelas Yahaya.

Majlis Pelepasan ‘Flag-off’ Bantuan Sumber Manusia (BSM) Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri ke 15 (DUN 15) di Padang Kawad Kompleks Logistik Alor Akar PDRM Kuantan

Menurut beliau, seramai 229 anggota iaitu empat Pegawai Kanan Polis dan 225 Pegawai Rendah Polis ditugaskan ke Daerah Kemaman, Dungun (214), Hulu Terengganu (239), Marang (197) dan Besut (2).

Dalam pada itu penugasan 881 anggota Polis Pahang ke Terengganu bagi PRN yang bakal berlangsung pada 12 Ogos ini tidak akan menjejaskan keperluan penugasan di negeri ini. – MalaysiaGazette