KUALA LUMPUR – Sindiket calling center bagi mempromosikan aktiviti perjudian dan kegiatan penipuan dalam talian berjaya ditumpaskan menerusi serbuan di beberapa premis sekitar ibu negara.
Serbuan dilaksanakan secara serentak oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan menyasarkan lapan premis kediaman sebagai pusat calling center oleh sindiket melibatkan warga asing.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, dalam serbuan itu seramai 74 warga asing ditahan terdiri daripada 67 lelaki dan tujuh wanita berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun.
“Kesemua tangkapan terdiri daripada 61 warga China, 12 warga Vietnam dan seorang dari Taiwan berdasarkan semakan awal dokumen pengenalan diri yang dirampas.
“Hasil pemeriksaan ke semua premis itu dipercayai menjalankan beberapa aktiviti mempromosikan judi dalam talian, love scam, penipuan pelaburan tidak wujud secara dalam talian dan menjadi hostel ata tempat penginapan operator calling center.
“Pelbagai perkakasan dipercayai digunakan bagi aktiviti judi dalam talian telah dirampas oleh pasukan operasi seperti set komputer, komputer riba, modem dan telefon bimbit pelbagai jenama.
“Turut dirampas satu paket plastik lut sinar mengandungi lima biji pil warna kemerahan disyaki dadah jenis ‘Yaba’ dianggarkan seberat 0.8 gram serta satu paket plastik lut sinar mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis Syabu anggaran berat 5.72 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, sebanyak lapan kertas siasatan telah dibuka dan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 120B Kanun Keseksaan, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Selain itu katanya, siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1952 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1952.
“Polis komited membanteras aktiviti perjudian kerana jenayah ini membawa impak negatif yang signifikan kepada kestabilan ekonomi negara dan keruntuhan sosial.
“Untuk itu, total enforcement ke atas semua bentuk aktiviti perjudian tanpa lesen akan terus dipergiat melibatkan pelbagai elemen termasuk pihak berkuasa tempatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















