PEKAN – Kerja-kerja menyiapkan kembali Projek Bekalan Air Nenasi melibatkan kawasan dari Tanjung Agas ke Nenasi sedang giat dilaksanakan dan kini mencapai perkembangan sebanyak 34 peratus siap.
Menurut Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, laporan terkini kemajuan kerja sebenar mencatatkan rekod kadar sembilan peratus lebih cepat dari jadual asal kerja.
Tambahnya, projek itu turut melibatkan pembinaan semula Tangki Kampung Serun, Tangki Loji Rawatan Air Nenasi dan Tangki Sungai Miang di daerah ini.
”Kerajaan Pahang melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) sentiasa memantau dengan serius bagi memastikan projek ini dapat disiapkan seperti dirancang sekaligus menyelesaikan masalah bekalan air Nenasi iaitu dari Kampung Api-Api, Tanjung Batu sehingga ke Merchong.
”Menteri Besar Pahang amat prihatin dan memahami keperluan air bersih penting untuk rakyat. Masalah air beberapa kawasan di seluruh negeri ini perlu diatasi segera dan rakyat berhak nikmati bekalan air dengan lebih sempurna.
”Projek Bekalan Air Nenasi telah diluluskan Perdana Menteri Ke-6, Datuk Seri Najib Tun Razak di mana kerja-kerja mula dilaksanakan 2017,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar itu projek berkenaan telah siap hampir 80 peratus pada ketika itu namun ia terhenti selepas pertukaran kerajaan pada 2018 lalu.
”Kerajaan Pahang melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) telah memperuntukkan RM2.3 bilion sebagai penyelesaian jangka masa panjang (Fasa Satu 2021-2026) meningkatkan sistem bekalan air di seluruh negeri melibatkan sebanyak 217 projek penting.
”Ini termasuk melaksanakan semula projek bekalan air Nenasi ini yang menelan belanja hampir RM19 juta di mana apabila siapnya projek ini ia akan beri manfaat kepada lebih 2,500 akaun pengguna.
”Manakala RM65.25 juta telah diperuntukkan kerajaan negeri untuk meningkatkan perkhidmatan bekalan air di seluruh Daerah Pekan,” katanya. – MalaysiaGazatte