Khaled Nordin

BANGI – UMNO sudah membuat dapatan mengenai kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan Selangor, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Terengganu.

Jelas Naib Presiden UMNO. Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dapatan itu telah dibuat pada peringkat negeri serta sayap parti dan sedang dikumpulkan untuk dibentangkan peringkat parti.

“Saya percaya tiap-tiap negeri (terbabit PRN) dan sayap sedang melakukan perkara itu sebelum kita kumpulkan (dapatan).

“Lagi pun kita sedang juga beri fokus untuk membantu PH (Pakatan Harapan) di PRK (Pilihan Raya Kecil) Pulai dan Simpang Jeram, jadi mungkin perkara ini dibuat tapi tidak diberikan liputan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Debat Perdana Madani 2023 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Khaled berkata demikian menjawab pertanyaan media sama ada UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan melakukan post mortem atas kekalahan teruk di PRN minggu lalu.

Pada PRN enam negeri, Barisan Nasional (BN)-UMNO hanya memenangi 19 kerusi daripada 108 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Di Kedah dan Terengganu, BN gagal memperoleh satu kerusi pun.

Di Selangor dan Pulau Pinang, BN hanya menang dua kerusi dan di Kelantan satu kerusi sahaja dimenangi.

BN hanya memperoleh kerusi di Negeri Sembilan apabila menang 14 kerusi dari 17 yang dipertaruhkan.

Untuk rekod, hanya Pergerakan Pemuda UMNO sahaja yang sudah selesai melaksanakan post-mortem terhadap prestasi buruk parti tersebut ketika PRN di enam negeri.

Ketuanya, Dr. Muhammad Akmal Saleh pada pertemuan dengan sayap seluruh negara, Selasa lalu memberi jaminan bersedia meletakkan jawatannya sekiranya keputusan post-mortem mendapati beliau menjadi antara punca prestasi buruk UMNO. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Apa punya bengap Khaled Nordin ni punyalah banyak media Sosial laporkan kebencian SUMPAH dan JANJI ZAHID HAMIDI masih lagi perangai macam Pudin… syok sendiri menemberang je… benda mudah tu pun putarbelit bikin serabut.

Comments are closed.