tanah Melayu Apandi Perlembagaan
Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali cuai dalam melaksanakan tugasnya berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut beliau, Mohamed Apandi tidak mengambil tindakan apabila bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz melaporkan berhubung salah laku kakitangan 1MDB.

“Namun, Mohamed Apandi telah memfailkan saman terhadap saya kerana dipecat secara salah.

“Saya telah bersedia untuk tampil di mahkamah untuk menjelaskan mengapa saya terpaksa memecatnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zeti Akhtar dalam keterangannya di mahkamah pada 28 Julai lalu berkata, walaupun bukti terlalu banyak dikumpul dan direkodkan oleh BNM, Peguam Negara ketika itu atas sebab yang tidak diketahui pada 11 September 2015 memutuskan laporan itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Dr Mahathir juga mendakwa Mohamed Apandi membuat keputusan yang salah apabila menggugurkan semua kes terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau memberitahu, apabila kes itu dibicarakan di mahkamah, tiga mahkamah dan sembilan hakim mendapati Najib bersalah.

“Jelas bahawa Mohamed Apandi selaku Peguam Negara tidak mengkaji kes tersebut secara mendalam sebelum mengisytiharkan tiada kes terhadap Najib.

“Ini sekali lagi membuktikan Mohamed Apandi cuai dalam melaksanakan tugasnya,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, kerajaan bersetuju untuk menyelesaikan kes saman yang difailkan Mohamed Apandi di luar mahkamah dan membayar pampasan yang tidak diketahui jumlahnya kepada beliau.

Menurut beliau, tindakan itu bermakna bahawa kerajaan mengakui Mohamed Apandi telah dipecat secara salah.

“Saya tidak terlibat dalam penyelesaian itu. Saya tidak bersetuju bahawa saya telah memecat Mohamed Apandi secara salah,” katanya.

Dr Mahathir menambah, laporan oleh BNM membuktikan bahawa Mohamed Apandi tidak melaksanakan tugasnya selaku Peguam Negara sekali gus mewajarnya pemecatannya.

“Tindakan memberi sejumlah pampasan kepada beliau tidak memberi gambaran yang baik tentang kedaulatan undang-undang di negara ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette