Dua beranak warga Rusia diselamatkan bomba Pulau Pinang selepas tersesat dalam hutan berhampiran Taman Negara di Teluk Bahang di sini, hari ini.

GEORGE TOWN – Tindakan dua beranak warga Rusia melakukan pendakian di kawasan hutan berhampiran Taman Negara Teluk Bahang, di sini, tanpa melapor kepada petugas taman negara membawa padah selepas mereka tersasar daripada jalur pendakian.

Bagaimanapun, wanita berusia 38 tahun serta anak lelakinya berusia 13 tahun itu berjaya diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang hari ini.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Bahang, Wan Abdul Malik Wan Husain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 9.29 pagi.

“Seorang daripada mangsa menghubungi talian kecemasan 999 dan memaklumkan bahawa mereka tersesat ketika memasuki kawasan hutan berkenaan.

“Berdasarkan maklumat awal, kedua-dua mangsa masuk ke hutan berkenaan sejak malam tadi tanpa melapor kepada petugas taman negara sebelum mereka menyedari tersasar daripada jalur pendakian.

“Susulan itu, seramai tujuh anggota serta dibantu pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), petugas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melakukan pencarian,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Tambah Wan Abdul Malik, operasi mencari dan menyelamat dua beranak itu sedikit sukar kerana tiada liputan talian komunikasi bagi mengesan mereka.

Selain itu, jelas beliau, berdasarkan lokasi kedudukan yang dimaklumkan mangsa, mereka tersasar jauh daripada jalur pendakian.

“Pihak kami terpaksa melakukan pencarian bermula di Pantai Acheh, Balik Pulau iaitu menerusi laluan yang lebih dekat.

“Kedua-dua mangsa kemudian ditemui dan diselamatkan sebelum dibawa keluar dari kawasan hutan kira-kira jam 2 petang.

“Masing-masing berada dalam keadaan baik serta tidak mengalami kecederaan,” katanya. – MalaysiaGazette