KUALA LUMPUR – Parti Putra menggesa kerajaan memberi tumpuan dan mendengar permasalahan rakyat bagi meningkatkan prestasi ekonomi negara dengan berhenti berpolitik menyalahkan mana-mana pihak.
Ini kerana, kata Pengerusi Biro Ekonomi Putra, Dr. Mohamad Izwan Zainal, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku tahun kedua 2023 telah menurun kepada 2.9 peratus Jumaat lalu.
Katanya, angka itu menunjukkan berada di bawah jangkaan 3.3 peratus dan lebih rendah berbanding suku tahun pertama 2023 yang merekodkan kadar pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus.
“Sekarang anda sudah menjadi kerajaan, buktikan anda boleh menjadi kerajaan yang lebih baik seperti dilaungkan sebelum ini.
“Jaga tutur kata kerana anda bukan lagi pembangkang. Setiap tutur kata yang salah akan menyebabkan ekonomi dan rakyat Malaysia makin parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menyatakan, KDNK sangat penting kerana ia menterjemahkan prestasi ekonomi sesebuah negara.
Ujarnya, untuk suku kedua tahun ini menunjukkan KDNK yang paling rendah berbanding suku tahun kedua 2021 dengan kelembapan dan penurunan permintaan pasaran global, geopolitik dan kesan perubahan cuaca memberikan kesan kepada penguncupan ekonomi sebanyak 4.2 peratus.
“Sektor swasta menunjukkan penurunan kepada 4.3 peratus berbanding 5.9 peratus suku pertama tahun ini.
“Di samping itu, penurunan eksport kepada negatif 9.4 peratus dan import negatif 9.7 peratus menguncup, sekali gus menunjukkan perdagangan bersih bersifat negatif kepada KDNK.
“Dalam pada itu juga, sektor pembuatan masing-masing menunjukkan penurunan bagi segmen perkhidmatan, pengilangan, pembinaan dan perlombongan dengan jumlah penurunan melibatkan RM3.9 bilion,” katanya.
Menurut Mohamad Izwan, berdasarkan kepada carta, KDNK Malaysia menurun untuk tempoh tiga suku tahunan berturut-turut bermula pada suku ke empat tahun 2022 selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Ini, katanya, memperlihatkan retorik kerajaan hari ini dalam agendanya membasmi kemiskinan hanya sekadar meraih politik murahan untuk mendapatkan sokongan.
Jelas beliau lagi, dengan keadaan ekonomi sebegini dan pertumbuhan hambar, memperlihatkan tiada inisiatif jelas melalui polisi untuk meningkatkan sumber pendapatan negara.
“Harus diingatkan, keputusan KDNK adalah cerminan kepada polisi yang ditetapkan oleh kerajaan sama ada bersifat memberi impak positif atau sebaliknya.
“Kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seluruh Kabinet kerajaan, musim PRN sudah pun tamat. Keputusan KDNK suku kedua menunjukkan hasil kerajaan yang terlalu banyak berpolitik dan menyalahkan kerajaan terdahulu sehingga KDNK berada pada tahap 2.9 peratus pada suku kedua ini.
“Apa yang kita khuatir dengan keadaan ekonomi hari ini, akan meningkatkan kemarahan kumpulan B40 yang sebahagiannya adalah daripada kumpulan M40 pada tahun 2022,” katanya.
Mohamad Izwan berharap kerajaan Malaysia Madani menggunakan sepenuhnya menteri yang hebat dengan pelbagai formula sebelum ini untuk merealisasikan formula tersebut.
Putra juga, katanya, mencadangkan geran kewangan untuk sektor penting bagi SME perlu diperkasakan dari segi promosi dan kurangkan birokrasi permohonan untuk merancakkan kembali pengeluaran tempatan dan kebergantungan kepada barangan berasaskan import.
“Ini juga merupakan strategi serampang dua mata dengan secara tidak langsung akan meningkatkan peluang pekerjaan dan seterusnya memberikan kesan positif kepada KDNK negara,” katanya. – MalaysiaGazette