Kawasan pesawat terhempas ditutup dengan jaring sepenuhnya oleh pihak Sime Darby di Elmina 8, Selangor. Foto QURRATU AINI, 22 OGOS 2023.

SHAH ALAM – Lokasi pesawat ringan, Beechcraft 390 model Premier 1, terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, di sini, tiada lagi dikawal polis.

Bagaimanapun, tinjauan MalaysiaGazette mendapati jaring berwarna hitam sepanjang kira-kira 100 meter telah dipasang sebagai menutup lokasi nahas tersebut yang terletak di tepi jalan utama, Persiaran Elmina.

Polis turut memasang pita berwarna kuning bagi menghalang kawasan tersebut dimasuki orang awam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, unit kenderaan peronda (MPV) dari Balai Jelutong masih menjalankan rondaan di lokasi itu bagi memastikan tiada pergerakan awam di dalam kawasan kemalangan.

“Lokasi nahas itu kini sudah diserahkan kepada pihak konsesi lebuh raya berkenaan iaitu Prolintas dan pengurusan bandar perumahan Elmina, Sime Darby untuk kerja-kerja pembaikan semula lokasi landskap perumahan yang terjejas itu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Dalam kejadian Khamis lepas seramai 10 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun terkorban.

Mangsa yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu manakala dua lagi merupakan orang awam, masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang melalui kawasan berkenaan ketika kejadian.

Ketika insiden, pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat kebenaran untuk mendarat pada 2.48 petang.

Semalam, pasukan yang terdiri daripada 10 pakar penerbangan dari Amerika Syarikat  melakukan penyiasatan di lokasi nahas sebelum mengambil bangkai pesawat untuk dibawa ke makmal.

Difahamkan kerja-kerja membaiki dan menambahbaik landskap yang rosak akibat insiden itu akan dilakukan tidak lama lagi. – MalaysiaGazette