KUALA LUMPUR – Sistem meritokrasi dan kuota dalam beberapa bidang akan dikekalkan pada ketika ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara perlu mengimbangi kedua-dua sistem tersebut.
“Golongan elit ini obses dengan meritokrasi, dia pergi sekolah terbaik, dia anak orang kaya. Jadi meritokrasi itu relevan.
“Tetapi kalau dia dari Manik Urai atau cerok kokdung (kawasan hulu) yang tidak kenal sekolah yang asas maka tidak ada keadilan.
“Meritokrasi itu penting tetapi ia tidak boleh jadi satu-satunya kriteria dalam pengurusan tatakelola negara yang adil,” tegas Anwar.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Kerjasama iTEKAD di Sasana Kijang yang turut dihadiri oleh Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.
Program iTEKAD membantu usahawan mikro berpendapatan rendah memperkukuh pengurusan kewangan dan kepintaran dalam perniagaan ke arah menjana pendapatan yang berterusan.
Menurut Perdana Menteri, beliau risau dengan sikap golongan elit yang seolah-olah tidak mempunyai perasaan dengan kumpulan bawahan.
“Kalau kita ada kegahirahan terhadap meritokrasi sahaja tak perlu ada iTEKAD bersaing sahajalah. iTEKAD ini tentunya ada kaitan dengan tindakan afirmatif.
“Saya kadangkala runsing kita sudah merdeka sudah sekian lama dan matang tetapi kadangkala wacana kita itu disconnect antara elit di atas dengan yang di bawah
“Sebab itu saya usulkan pimpinan kementerian dan bank faham kenapa keluhan dan kegelisahan di bawah itu berfikir lain. Oleh kerana dia rasa tersisih dan terabai maka dia lari kepada isu kaum dan isu agama yang sempit,” kata Anwar.
Perdana Menteri bagaimanapun menjangkakan fenomena dua sistem itu tidak akan kekal kecuali jika negara gagal membuat sebarang penambahbaikan bermula sekarang.
Tambah Anwar, meritokrasi penting kerana sistem itu dapat melahirkan individu terbaik.
“Sebab itu dalam dialog saya dengan anak-anak universiti, satu pihak cakap meritokrasi, satu pihak hanya (bercakap) kuota dan affirmative action atau rizab bumiputera.
“Saya fikir kedua-dua ini perlu digabung buat sementara ini. Mesti ada meritokrasi kerana kalau tidak, kita tidak akan dapat mengangkat yang terbaik dalam kalangan kita,” katanya. – MalaysiaGazette
Meraban tak tentu hala? Apa2 jua keputusan perlulah berlandaskan perlembagaan, ianya perjalanan sejarah dan asas kepada pembentukan negara.
Negarawan2 terdahulu dah buat elok dah!