Lamine Yamal. Foto CNN.

LONDON – Penyerang Barcelona, Lamine Yamal mencipta sensasi apabila dia muncul pemain termuda memulakan aksi La Liga pada abad ini ketika gergasi Sepanyol itu menewaskan Cadiz 2-0, kelmarin.

Pemain 16 tahun itu disenaraikan dalam kesebelasan utama menggantikan Raphinha yang digantung perlawanan.

Namun Yamal tampil dengan aksi cemerlang dengan beberapa kali mencetus masalah buat pertahanan Cadiz dan bergandingan baik dengan rakan sepasukan dalam mengerakkan serangan kelab itu.

Malah umur juga bukan penghalang buat Yamal apabila dia hampir menjaringkan gol dalam penampilan penuh pertamanya, tetapi Conan Ledesma menafikan percubaan pemain muda berkenaan.

Yamal juga tidak bernasib baik apabila dinafikan sepakan penalti selepas dia dijatuhkan dalam kotak penalti Cadiz.

Walaupun tidak pernah memulakan perlawanan sebelum ini, Yamal sudah mempunyai gelaran La Liga dalam koleksinya apabila membuat penampilan pertama pada usia 15 tahun di akhir musim lalu.

Ketika itu, dia mencatat rekod sebagai pemain paling muda beraksi dalam skuad utama kelab berkenaan.

Yamal turut menjadi tonggak penting dalam skuad remaja Sepanyol dan telah meledak 12 gol dalam 21 penampilan untuk skuad bawah 15 tahun hingga bawah 19 tahun. – Agensi