SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menolak dakwaan berlaku salah guna dan kebocoran data rakyat untuk pendaftaran Skim Perlindungan Insurans Am (INSAN) seperti yang tular sekarang.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya juga menolak dakwaan kerajaan mendapatkan data peribadi itu daripada syarikat insurans.
“Kita bekerjasama dengan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) untuk mendapatkan maklumat data awam yang boleh dibeli bagi tujuan pra pendaftaran INSAN kepada mana-mana rakyat negeri ini yang layak.
“Bagi pendaftaran INSAN pula kita tapis untuk mereka yang beri kebenaran. Kepada yang tidak beri kebenaran kita tidak daftar,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan portfolio barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan berlaku kebocoran data peribadi rakyat negeri itu yang digunakan untuk mendaftar Skim INSAN.
Seorang peguam, Asiah Abd Jalil dilaporkan mempersoalkan sama ada rakyat Selangor mengetahui mengenai kemungkinan data peribadi mereka telah disalahgunakan untuk melanggan skim berkenaan tanpa pengetahuan dan persetujuan mereka.
Beliau memberi contoh mengenai tuduhan yang tular terhadap pempengaruh media sosial pro-Perikatan Nasional (PN), YB Viral yang kononnya menikmati manfaat daripada inisiatif Kerajaan Negeri Selangor iaitu skim INSAN walaupun tidak pernah memohon.
Menurut Amirudin, setiap nama yang diterima menerusi skim itu perlu mengesahkan nombor kad pengenalan dan swafoto gambar pemiliknya sebagai memberi kebenaran pendaftaran itu.
“Mereka yang tidak memenuhi syarat itu, tidak akan dimasukkan dalam senarai penerima dan dianggap menolak daripada menerima Skim INSAN,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri akan memantapkan lagi kawalan jika terdapat pelanggaran pada Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010. – MalaysiaGazette