exco sumpah jawatan
Wisma Negeri dan Bangunan Dewan Undangan Negeri Sembilan, Seremban. Foto AFFAN FAUZI, 11 OGOS 2023.

SEREMBAN – Seramai 10 Exco Kerajaan Negeri Sembilan yang baharu akan mengangkat sumpah jawatan di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada pukul 9 pagi esok.

Istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan itu akan disempurnakan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan turut memaklumkan, mesyuarat exco kerajaan negeri yang pertama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan diadakan di Wisma Negeri di sini selepas istiadat tersebut selesai.

Walau bagaimanapun, pembahagian exco mengikut parti dan portfolio masih belum diketahui setakat ini.

Difahamkan, UMNO selaku parti yang memenangi kerusi terbanyak dalam PRN Negeri Sembilan berharap enam wakil rakyatnya dilantik sebagai exco.

UMNO selaku parti tunggal yang mewakili Barisan Nasional (BN) pada PRN Negeri Sembilan menang di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Secara keseluruhan, Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 kerusi, yang mana DAP beroleh 11 kerusi diikuti lima kerusi PKR dan satu kerusi Parti Amanah Negara (Amanah).

Gabungan PH dan BN diberi mandat membentuk kerajaan negeri setelah menang 31 kerusi DUN pada PRN Negeri Sembilan, 12 Ogos lalu.

Lima lagi kerusi yang sebelum itu disandang PH dan BN jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast