PASIR GUDANG – Kejadian kebocoran gas di sebuah kilang di sini hari ini melibatkan bahan kimia styrene monomer.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengesahkan perkara itu susulan kejadian berlaku pukul 5.21 petang itu.
“Hasil pemeriksaan pihak kami (bomba) mendapati berlaku kebocoran bahan kimia pada injap saluran bahan kimia yang berada di kilang itu.
“Bantuan pasukan Hazmat diperlukan untuk menutup saluran tersebut. Operasi masih berjalan dan tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Operasi petang tadi melibatkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang dan lapan anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) BBP Larkin.
JBPM Johor turut meminta orang awam tidak membuat sebarang spekulasi di media sosial mengenai kejadian itu.
“Kita mohon orang awam supaya tidak mengadakan cerita sepatutnya kerana boleh menggugat ketenteramam awam serta menimbulkan kerisauan kepada penduduk setempat,” jelas kenyataan yang sama.- MalaysiaGazette