KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mendesak Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat kerana didakwa gagal menguruskan tahap kebersihan dan keselamatan pengunjung ke Semporna, Sabah.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, ketidakupayaan Mohd Shafie menyebabkan pemain industri bakal dikenakan tindakan notis merah oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC).
“Isu yang menjadi kegusaran pelancong ke Semporna ialah dakwaan persekitaran sangat kotor dengan longgokan sampah-sarap hingga mengeluarkan bau busuk serta ancaman makhluk perosak seperti tikus.
“Sampah-sarap yang bertaburan hampir semua kawasan pesisiran pantai Semporna larutan sejak 15 tahun lalu.
“Mohd Shafie yang menjadi wakil rakyat di kawasan itu sejak enam penggal tidak berbuat apa-apa dan tiada perubahan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing telah memberi amaran kepada pemain industri di Semporna tentang risiko perniagaan jika mereka gagal menangani aduan mengenai tahap kesihatan dan keselamatan pengunjung ke pulau itu.
King Sing berkata, MOTAC melalui agensinya akan mengeluarkan “notis merah” memberi amaran kepada pengunjung supaya tidak pergi ke Semporna sebagai pilihan terakhir.
Pada Khamis lalu, menteri itu dalam hantaran Facebooknya membangkitkan aduan itu pada mesyuarat Kabinet baru-baru ini.
Antaranya masalah terlibat adalah keracunan makanan, perkhidmatan hospitaliti yang ditawarkan juga tidak setara pada harganya seperti tuala, sarung bantal, cadar kotor serta gangguan serangga.
Dalam masa sama, Zulkarnain berkata, sebagai rakyat Sabah, isu sampah di Semporna amat memalukan dan boleh menjejaskan ekonomi rakyat setempat.
“Masa Shafie menjadi Ketua Menteri pada 2019, isu sampah ini selesai sekejap, kemudian berulang hingga menimbulkan kegusaran pelancong yang datang.
“Apabila notis merah dikeluarkan MOTAC, ini sekaligus akan menjejaskan pendapatan seluruh orang ramai di Semporna.
“Salah satu sebab punca kegagalan pengurusan sampah di Semporna adalah sebab Shafie Apdal tidak berfungsi dengan baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette