KUALA LUMPUR – Malaysia dan Australia menyatakan komitmen terhadap Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) untuk kekal sebagai tonggak keselamatan di rantau ini.
Persetujuan itu dicapai melalui Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia (MAJDP) ke-3 di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles.
“Berpandukan prinsip aturan ini semua inisiatif masa hadapan akan menyatukan dan memperkukuhkan negara-negara ahli FPDA, dan maju bersama pada kadar yang disenangi oleh kesemua negara ahli,” katanya dalam kenyataan bersama.
Kedua-dua menteri itu juga komited untuk bekerjasama rapat dalam menangani cabaran keselamatan bersama demi kepentingan serantau.
Mohamad dan Marles menekankan kepentingan untuk menghormati undang-undang antarabangsa termasuk
kebebasan navigasi dan penerbangan.
Kedua-dua negara turut menyatakan komitmen terhadap Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Undang-Undang Laut 1982 sebagai rangka kerja perundangan komprehensif untuk segala aktiviti maritim.
Malaysia dan Australia juga mengesahkan komitmen terhadap kepaksian ASEAN dalam arkitektur keselamatan serantau termasuk Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN bersama Kumpulan Kerja Pakar (ADMM PLUS EWG).
Kedua-dua menteri mengambil maklum kepentingan ASEAN Outlook on the IndoPacific, Zon Aman, Bebas, dan Berkecuali (ZOPFAN) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).
Sementara itu, Malaysia dan Australia mencapai persetujuan untuk memperkukuhkan kerjasama pertahanan dua hala berpandukan MAJDP.
Kedua-dua menteri telah memperakukan keutuhan kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Australia berasaskan sejarah, keyakinan dan saling menghormati yang diterjemahkan menerusi kerjasama strategik komprehensif.
Mereka turut memuji pelbagai aktiviti yang telah dilaksanakan di bawah MAJDP termasuk program pendidikan, latihan dan eksesais bersama secara komprehensif.
Australia menyatakan penghargaan kepada Malaysia kerana kekal menjadi hos kepada Angkatan Tentera Australia di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia di Butterworth.
Kedua-dua menteri mengiktiraf kepentingan Rifle Company Butterworth dan penugasan berterusan telah meningkatkan kebolehoperasian antara angkatan tentera Malaysia dan Australia.
Sementara itu, Mohamad menyampaikan penghargaan beliau kepada Australia kerana menyokong projek penaiktarafan infrastruktur Pangkalan Udara Butterworth.
“Kedua-dua menteri mengalu-alukan kemajuan projek penaiktarafan yang signifikan di pangkalan udara berkenaan.
“Timbalan Perdana Menteri Australia dan Menteri Pertahanan Malaysia mengesahkan kepentingan Operasi Gateway yang menyumbang ke arah keselamatan dan kestabilan serantau secara berterusan.
“Mereka berdua berkongsi pandangan yang sama berkaitan kepentingan meningkatkan kesedaran domain maritim menerusi pembangunan keupayaan dan kebolehoperasian antara kedua-dua angkatan tentera,” katanya.- MalaysiaGazette