KUALA LUMPUR – Seorang pemandu Lexus dijatuhi hukuman penjara dua hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas menyebabkan kemalangan seorang penunggang motosikal.
Tertuduh, Lim Ching Hong, 26, juga dikenakan hukuman denda RM6,000 dan lesen memandunya digantung selama lima tahun.
Majistret Fatin Dayana Jalil menjatuhkan hukuman tersebut selepas Ching Hong, yang bekerja sebagai pemandu lori mengaku bersalah terhadap pertuduhannya yang dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang memandu kereta jenis Lexus LS460L, nombor pendaftaran BQL 1188 warna perak, telah memandu dalam keadaan membahayakan pengguna jalan raya di Jalan Syed Putra di sini pada jam 9.19 pagi, Ahad lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika disabitkan kesalahannya boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak melebih lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga melebihi RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, lesen memandu percubaan dibatalkan serta kesalahan akan diendors pada lesen tersebut.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh sabitan hari ini dan sekiranya gagal membayar denda, dia boleh dipenjara selama tiga bulan.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Nor Hafiz Mohd Wazir mencadangkan agar tertuduh dikenakan hukuman maksimum kerana telah membahayakan pengguna jalan raya.
Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuan kepada mahkamah memohon dikenakan denda minimum kerana tidak mempunyai pekerjaan berpendapatan tetap dan perlu menyara keluarganya.
Pada Selasa lalu, sebuah video berdurasi 24 saat memaparkan sebuah kereta yang dipandu secara melulu dengan mengubah haluan ke lorong kedua sebelum membrek secara mengejut tular di media sosial.
Tindakan pemandu Lexus itu mengakibatkan seorang penunggang motosikal yang berada di belakang kenderaan suspek gagal mengawal motosikal lalu terjatuh selepas melanggar belakang kereta tersebut. – MalaysiaGazette
Bila dijatuhkan hukuman, alasan klise iaitu menjaga menyara keluarga akan keluar dari semua manusia yg didapati bersalah .tetapi semasa melakukan kesalahan tidak pula pandai berfikir..Memang IQ GORILA bukan manusia.