Masih ramai peniaga gagal pamerkan tanda harga. - Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menguatkuasakan Akta Kawalan Harga 1946 yang mewajibkan peniaga mempamerkan tanda harga pada barangan dijual.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, ia susulan tinjauan pihaknya mendapati segelintir peniaga gerak makanan dan minuman di negeri ini tidak mempamerkan senarai harga.

Malah, di kebanyakan restoran pula petunjuk harga tidak dikemaskini sehingga mengelirukan pelanggan.

“Menerusi tinjauan itu, peniaga secara terang-terangan didapati melanggar Akta Kawalan Harga 1946 Pindaan 1973, Seksyen 8 (1) yang mewajibkan mereka mempamer tanda harga pada barangan yang dimaksudkan bagi dijual.

“Peniaga tidak memaparkan harga yang betul boleh membuatkan pengguna ‘ditipu’ apabila membayar pesanan atau pembelian mereka,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Mohideen menggesa KPDN menguatkuasakan Akta Kawalan Harga bagi memastikan penjual memaklumkan kepada pembeli mengenai harga jualan mereka menerusi penguatkuasaan itu.

“Kekurangan penguatkuasaan menghalang keberkesanan undang-undang ini.

“Selain itu, kita juga menggesa KPDN mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang gagal mempamerkan tanda harga selain mendakwa mereka di mahkamah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast