Rampasan sejumlah dadah bernilai setengah juta ringgit yang dirampas dari sindiket dadah di ibu negara didalangi warga Thailand pada 18 Ogos lalu.Ihsan JSJKL

KUALA LUMPUR – Taktuk licik pasangan suami isteri warga Thailand yang didapati secara diam-diam mendalangi sindiket dadah sambil bekerja di kedai makanan Tomyam akhirnya terbongkar.

Mereka adalah antara empat suspek yang dipercayai giat mendalangi sindiket pengedaran dadah diberkas dalam tiga siri serbuan berasingan di ibu negra pada 18 Ogos lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, serbuan itu dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bermula jam 7 hingga 9.15 malam pada hari Jumaat minggu lalu.

Katanya, serbuan pertama pasukan di tepi jalan di Taman Pertama, Cheras telah membawa kepada penahanan tiga suspek yang terdiri daripada seorang lelaki tempatan serta lelaki dan wanita warga Thailand berusia antara 23 hingga 30 tahun.

“Susulan tangkapan itu dan berpandukan maklumat ketiga-tiga suspek berkenaan, kami melakukan serbuan kedua di satu tempat letak kereta di Solaris Dutamas dan merampas  15 bungkusan dadah.

“Dadah yang disyaki syabu seberat 16 kilogram (kg) itu dianggarkan bernilai RM520,000  ditemui di dalam sebuah kereta jenis Nissan Sentra dipercayai milik sindiket tersebut,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Tambah Allaudeen, hasil daripada tangkapan itu pasukan JSJKL membuat serbuan ketiga di lobi sebuah residensi mewah di Taman Kobena, Cheras.

Serbuan itu berjaya memberkas seorang lagi wanita warga Thailand berusia 30 tahun dipercayai dalang utama sindiket pengedaran dadah tersebut.

Kereta jenis Nissan yang dirampas daripada sindiket dadah didalangi warg Thailand dalam beberapa siri tangkapan di ibu negara 18 Ogos lalu.”Siasatan awal kami mendapati sindiket ini aktif  dalam pengedaran dadah di sekitar ibu negara sejak dua bulan yang lepas dengan modus operandinya menjadikan kereta sebagai tempat penyimpanan bekalan dadah sebelum diserah kepada pembeli,” katanya.

Polis masih meneruskan siasatannya untuk mengesan sumber bekalan dadah syabu  sindiket tersebut.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing ke atas mereka mendapati tiga daripadanya disahkan positif dadah jenis methamphetamin, ketamin serta ganja manakala wanita Thailand yang merupakan dalang utama sindiket berkenaan negatif dadah.

Menurut beliau, rampasan dadah berkenaan boleh digunakan oleh 30,000 penagih dadah di ibu negara.

“Kesemua suspek berkenaan telah direman selama tujuh hari bermula 18 Ogos hingga 24 Ogos ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati,” katanya. – MalaysiaGazette