Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff

PEKAN – UMNO Pekan UMNO Pekan hari ini  mendesak supaya Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun segera menyiasat dan menjelaskan kepada umum tentang dokumen memo dalaman pasukan pendakwaan kes 1MDB-IPIC yang tular baru-baru ini.

Ketua UMNO Bahagian Pekan, Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff menegaskan, siasatan lanjut dan telus perlu diselaraskan atas prinsip keadilan, yang mana ”keadilan bukan sahaja hendaklah dilakukan, tetapi ia juga hendaklah dilihat sebagai sudah dilakukan”.

“UMNO Pekan maklum mutakhir ini telah terbocor memo dalaman bertarikh 10 September 2019, setebal 12 muka surat dari pasukan pendakwaan kes 1MDB-IPIC kepada Peguam Negara ketika itu iaitu Tan Sri Tommy Thomas.

“Bagi kes 1MDB-IPIC ini, Datuk Seri Mohd Najib telah didakwa bersama dengan Tan Sri Irwan, mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada 25 Oktober 2018.

“Namun berdasarkan memo dalaman tersebut jelas menunjukkan bahawa kesemua anggota pasukan pendakwaan yang terdiri daripada tujuh orang DPP dan lima orang pegawai penyiasat telah sebulat suara mengesyorkan bahawa kes ini tidak layak dibawa ke mahkamah kerana tidak cukup bukti untuk disabitkan kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad Fakhruddin berkata, UMNO Pekan amat berdukacita dan hiba kerana pada hari ini 23 Ogos 2023 merupakan genap setahun Najib berada di penjara Kajang apabila Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas beliau bagi kes SRC International Sdn Bhd.

“Umum diketahui bahawa perbicaraan kes 1MDB-IPIC tidak pernah bermula setelah ditangguh berulang kali oleh pihak pendakwaan selama lima tahun sejak didakwa pada tahun 2018,” tambah beliau.

Tegas beliau, jika benar dokumen berkenaan terbukti sahih, maka telah berlaku kezaliman terhadap Najib, seorang pemimpin yang telah banyak berjasa kepada negara.

Maka seharusnya Pejabat Peguam Negara perlu menarik semula kesemua enam pertuduhan berkait kes 1MDB-IPIC ini serta siasatan dibuat bagi menyiasat sama ada wujud elemen salah guna kuasa oleh individu tertentu dalam memastikan pertuduhan diteruskan terhadap bekas perdana menteri itu.

Tambahnya kes tersebut boleh menyebabkan implikasi yang sangat besar dalam hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu kerana syarikat IPIC adalah milik kerajaan Abu Dhabi. – MalaysiaGazette