Datuk Armizan Mohd Ali

KUALA LUMPUR – Sejumlah 4.31 juta liter minyak diesel bernilai RM9.23 juta dan pelbagai peralatan lain berjumlah RM25.24 juta dirampas dalam Ops Tiris yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang bermula 1 Mac hingga 23 Ogos 2023.

Sepanjang tempoh itu, sebanyak 379 tangkapan juga telah dilakukan dalam tempoh yang sama melibatkan 305 individu merupakan warganegara, 71 individu warga asing dan tiga individu adalah pemastautin tetap.

Pemangku menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Ops Tiris yang dilancrkan oleh KPDN selama enam bulan itu bertujuan membanteras penyelewengan dan penyeludupan minyak diesel bersubsidi yang telah menyebabkan kerugian besar kepada Kerajaan serta mengakibatkan ketirisan berlaku setelah sebahagian bekalan diesel bersubsidi tidak sampai kepada golongan sasar.

“Berdasarkan statistik penguatkuasaan Ops Tiris, sebanyak 10,351 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara, manakala sebanyak 121 aduan telah diterima berhubung isu berkaitan dalam tempoh yang sama.

“Bahagian Penguat Kuasa KPDN telah berjaya membuka sebanyak 459 kes termasuklah 225 kes serahan yang diterima daripada rakan agensi strategik iaitu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan analisis data itu, KPDN mendapati tindakan penguatkuasaan melalui pelaksanaan Ops Tiris telah menunjukkan impak positif, lantaran itu operasi ini akan dilanjutkan kepada Fasa 2.0 sehingga 31 Disember 2023 ini.

Selain meneruskan operasi sedia ada, KPDN akan melakukan penambahbaikan dengan memperluaskan skop siasatan yang lebih menyeluruh meliputi rantaian bermula daripada sumber pembelian bekalan sehingga kepada pembeli haram.

Tambahnya, Ops Tiris Fasa 2.0 juga akan melibatkan Unit Risikan Perniagaan yang akan beroperasi di bawah Bahagian Penguat Kuasa KPDN bermula 1 September ini.

Penubuhan unit baharu ini bertujuan untuk menjalankan tugasan perisikan perniagaan di pasaran melibatkan isu-isu berkaitan sektor barang kawal subsidi, perdagangan, pengedaran & perniagaan, industri perkhidmatan dan perniagaan dalam talian serta hal ehwal kos sara hidup.

“Melalui platform OPS TIRIS 2.0 juga, Bahagian Penguat Kuasa KPDN akan merintis risikan terhadap ketirisan subsidi lain seperti LPG, minyak masak, beras dan gula,” kata Armizan lagi. – MalaysiaGazette