SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mempengerusikan tiga portfolio dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Portfolio tersebut adalah Hal Ehwal Agama Islam dan Keselamatan; Kewangan, Tanah dan Sumber Alam serta Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti dan Kemudahan Awam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat mengumumkan perkara tersebut dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Exco Kerajaan Negeri Sembilan penggal ini di Wisma Negeri, di sini, hari ini.
Exco Kanan merangkap ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias pula diberi tangggungjawab mengetuai dua portfolio iaitu Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi serta Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup.
Pengerusi-pengerusi bagi sembilan portfolio yang lain ialah:
Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam: ADUN Bahau, Teo Kok Seong
Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Masyarakat: ADUN Pilah, Noorzunita Begum Mohd Ibrahim
Pendidikan dan Modal Insan: ADUN Senaling, Datuk Ismail Lasim
Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan: ADUN Nilai, J Arul
Pembangunan Belia dan Sukan: ADUN Palong, Mustapha Nagoor
Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan: ADUN Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon
Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan: ADUN Repah, S Veerapan
Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital: ADUN Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli
Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO: ADUN Ampangan, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman
Sementara itu, Aminuddin memaklumkan, kesemua 36 ADUN akan mengangkat sumpah pada sidang khas DUN Negeri Sembilan pada 26 September ini.
Berhubung pelantikan Yang Dipertua DUN yang baharu, beliau membayangkan kemungkinan pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) akan dicalonkan untuk jawatan tersebut.
“Mungkin Amanah, kita dah janji. Kalau hari tu kita janji kepada Amanah, kepada Amanahlah. Siapa saya tak tahulah,” katanya. – MalaysiaGazette