Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu memandangkan BN adalah penyandang kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), tahun  lalu.

“Kerusi itu kita (BN) adalah pengandang, saya telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Pahang (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail),” katanya kepada media selepas menghadiri Himpunan Solidariti Wanita bersama Presiden ‘Mempertahankan Institusi Presiden’ di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengharapkan parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan dapat memberikan sokongan kepada BN seperti mana yang akan dilakukan oleh gabungan itu pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, 9 September depan.

“Tentunya kita juga mengharapkan semua parti komponen di bawah Kerajaan Perpaduan untuk bersama-sama sebagaimana esok kita akan ke Pulai dan Simpang Jeram untuk ketuai jentera BN bagi bantu calon PH di PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram,” katanya.

Awal hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai diadakan pada 7 Oktober ini dengan 23 September sebagai hari penamaan calon.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon pula pada 23 September ini manakala 3 Oktober depan ditetapkan sebagai undi awal.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat dalam nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Johari yang merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri dipilih sebagai ADUN Pelangai selepas memenangi kerusi terbabit pada PRU15 tahun lalu. – MalaysiaGazette