KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan akaun bank beliau dan isteri telah dibekukan sejak semalam.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu percaya tindakan berkenaan diambil kerana terdapat tekanan dan campur tangan pemimpin-pemimpin politik tertinggi dalam Kerajaan.
“Pembekuan ini, yang kemudiannya disebarkan kepada media merupakan usaha terdesak kerajaan pimpinan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim untuk terus menekan pimpinan Perikatan Nasional yang semakin mendapat kepercayaan rakyat.
“Ia juga satu taktik kotor berterusan bagi mencipta persepsi buruk terhadap Perikatan Nasional terutamanya selepas sokongan majoriti rakyat beralih kepada Perikatan Nasional yang memenangi 146 daripada 245 kerusi DUN baru-baru ini,” kata Hamzah.
Ahli Parlimen Larut itu yakin, banyak tindakan politik akan diambil ke atas beliau dan pemimpin PN dalam masa terdekat.
Ini termasuk menggunakan pihak polis bagi menyiasat beliau kerana mengkritik DAP dalam kempen Pilihan Raya Negeri.
Menurut Hamzah, tindakan yang dikenakan tidak akan menghentikan perjuangan beliau demi masa depan negara dan rakyat.
“Saya telah menyerahkan suatu surat tuntutan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Kerajaan Malaysia.
“Dan peguam saya sedang menyediakan kertas-kertas tindakan untuk tujuan memulakan tindakan Mahkamah terhadap SPRM, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Kerajaan Malaysia kerana mengheret nama saya dalam kes pendakwaan yang tiada kena mengena langsung dengan saya,” katanya.
Hamzah menambah, tindakan yang dihadapinya sama seperti pendakwaan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kemudiannya dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Ini selepas hakim mendapati empat pertuduhan yang dikenakan cacat, tidak berasas, kabur dan tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.
Hakim juga memutuskan bahawa pendakwaan terhadap Muhyiddin sebagai satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Media sebelum ini melaporkan, akaun bank milik Hamzah dan ahli keluarganya dipercayai dibekukan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).