Rafizi Ramli .-Foto MUHD NA’IM, 27 JUAI 2023.

KUALA LUMPUR – Jumlah pertumbuhan ekonomi 2.9% pada suku kedua 2023 dilihat lebih kecil disebabkan kesan asas yang tinggi kerana pembukaan ekonomi pasca Covid-19 pada 2022 yang mewujudkan kesan asas tinggi pada suku tahun tersebut.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, kesan asas muncul apabila angka dari tempoh rujukan, sama ada setahun atau suku tahun yang lalu sangat tinggi atau rendah yang menjadikan kadar pertumbuhan dilihat lebih kecil.

“Pelbagai perbincangan dan persoalan berlegar berkenaan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berkembang 2.9% pada suku kedua 2023.

“Sebagai konteks, kadar pertumbuhan ekonomi diperoleh dengan membandingkan angka semasa dengan angka dari tempoh sebelumnya. Bila kita bercakap tentang Pertumbuhan Tahunan (YoY), kita sedang membandingkannya dengan data tahun sebelumnya,” kata Rafizi.

Menurut beliau, dari sisi lain pertumbuhan sukuan (QoQ) membandingkan angka terkini dengan angka dari tiga bulan yang lalu.

Tambahnya, untuk mendapatkan gambaran ekonomi sebenar Malaysia yang lebih jelas, pertumbuhan sukuan menunjukkan peningkatan dari 0.9% kepada 1.5%, menjadi indikator yang lebih sesuai.

Lima hari lalu media melaporkan, Jabatan Perangkaan melaporkan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku kedua tahun ini menyederhana kepada 2.9 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 5.6 peratus suku kedua tahun sebelumnya.

Rafizi berkata, sebagai negara berdagang Malaysia sememangnya akan terkesan dengan perubahan ekonomi global.

Permintaan luar yang lemah terutamanya daripada rakan dagang utama seperti China pasti akan memberikan impak kepada negara.

“Apa yang lebih penting adalah, walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, ketahanan ekonomi kita kekal teguh.

“Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 5.6% pada suku pertama 2023 lebih baik berbanding negara serantau ASEAN lain.

“Inflasi kekal pada tahap yang baik pada 2.4%. Kadar pengangguran, kini pada tahap terendah dalam tiga tahun pada 3.4%,” kata beliau menerusi media sosial.

Menurut Rafizi, halatuju ekonomi negara telah diletakkan menerusi kerangka Ekonomi Madani dan Malaysia juga meneroka pasaran tenaga boleh baharu dengan sasaran menjadi peneraju rantau ini.

Reformasi kepada pasaran kerja dan gaji juga telah dimulakan dengan kertas Dasar Gaji Progresif.

“Tanggungjawab sebagai kerajaan adalah sentiasa bersedia dengan rancangan, pelan tindakan dan idea untuk menghadapi sebarang cabaran dan mencipta peluang. Kerajaan Perpaduan berada dalam landasan itu,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. RAFIZI RAMLI perlu gunakan formula PAKAI CERMIN MATA untuk melihat kebenaran. Rafizi ni bagai pengundi 18 tahun je akalnya dan bukan SEORANG MENTERI yang CERDIK memiliki FORMULA boleh guna.

Comments are closed.