Wan Salim.

GEORGE TOWN – Sensitiviti umat Islam perlu diambil kira dalam menganjurkan apa-apa aktiviti hiburan supaya Kerajaan Negeri tidak dijadikan sasaran tohmahan konon merosakkan Islam,” kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bantahan terhadap Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berhubung kelulusan konsert Viral Lagu-Lagu TikTok yang dijadual berlangsung pada 30 September depan di Dewan Milenium, Kepala Batas.

Menurut Wan Salim, tindakan penganjuran  konsert itu pada musim umat Islam meraikan Maulidur Rasul dianggap kurang bijak.

Penduduk setempat turut membantah penganjuran konsert viral lagu-lagi TikTok diadakan di Pulau Pinang.

“Saya sokongan dengan cadangan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid yang meminta MBSP membatalkan konsert tersebut.

“Malah, sensitiviti umat Islam perlu diambil kira dalam menganjurkan apa-apa aktiviti hiburan supaya Kerajaan Negeri tidak dijadikan sasaran tohmahan oleh pihak tertentu kononnya mempunyai agenda untuk merosakkan Islam,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu, Kerajaan Pulau Pinang meminta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) membatalkan kelulusan konsert Viral Lagu-Lagu TikTok yang dijadual berlangsung pada 30 September depan di Dewan Milenium, Kepala Batas.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata, kerajaan negeri mengambil maklum kegusaran orang ramai mengenai penganjuran konsert berkenaan.

Pada Selasa, tular poster penganjuran Konsert Viral Lagu-Lagu TikTok Malaysia Indonesia 2023 yang menampilkan artis, antaranya Baby Shima serta beberapa artis Indonesia.

Bagaimanapun, dalam poster terbabit tidak dinyatakan mengenai kadar caj tiket yang dikenakan selain tiada maklumat lengkap pihak penganjur yang mengendalikan acara terbabit. – MalaysiaGazette