Khaled Nordin menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Kluster dan Chapter Universiti Majlis Profesor Negara. Foto - MPN.

KUALA LUMPUR – Platform kluster di bawah Majlis Profesor Negara (MPN) bukan litar perlumbaan untuk menunjukkan siapa lebih baik, ilmu siapa lebih besar dan penting atau siapa yang lebih berpengaruh.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebaliknya berkata, pembahagian kluster dalam MPN tidak lebih daripada sekadar pengelasan kepakaran.

Pembahagian tersebut seharusnya memudahkan untuk menggabung jalin pelbagai ilmu dan disiplin dengan lebih berkesan.

Justeru katanya, semua kluster dalam MPN perlu bekerja sebagai satu entiti yang saling mengukuhkan.

Katanya, pemikiran dan idea yang dicerna secara in silo dan terpisah-pisah tidak akan memberikan impak maksimum kerana cabaran hari ini tidak lagi datang sehala atau dalam bentuk tunggal.

“Krisis keterjaminan makanan dan air adalah juga krisis kuasa dan geopolitik. Perubahan iklim turut bermakna pelarian alam sekitar akan meningkat. Teknologi disruptif adalah ujian kelangsungan pendidikan tinggi.

“Perkembangan saintifik memerlukan kreativiti pemikiran sastera. Malah, dunia sekular adalah pentas membahaskan realiti agama dan budaya. Kesemua ini membawa beberapa makna.

“Kita mesti bekerja bersama-sama. Ilmu kita dalam sesuatu bidang tidak lagi menjadi kelebihan andai ia dikupas secara sempit dan tidak merentas disiplin,” tegas Mohamed Khaled.

Antara profesor yang menerima watikah pelantikan Jawatankuasa tertinggi. Foto – MPN

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Kluster dan Chapter Universiti MPN semalam.

Tambah beliau, gelaran profesor bukan sahaja satu pengiktirafan kepintaran tetapi peletakan tanggungjawab besar yang melebihi kepentingan diri sendiri.

“Maka, saya harap MPN akan mengumpulkan segala bakat dan minda terbaik bangsa. Untuk digembleng secara strategik bagi membawa kebaikan kepada bangsa dan negara kita.

“Kepada siapa lagi harus saya sandarkan harapan yang besar ini. Jika bukan pada sebuah organisasi yang menghimpunkan bakat paling pintar dalam negara,” katanya.

Pada majlis tersebut, Mohamed Khaled menyampaikan watikah pelantikan kepada kepada 58 Jawatankuasa tertinggi bagi 12 kluster, satu subkluster dan 21 chapter universiti.

Penubuhan kluster dan chapter universiti adalah satu inisiatif bagi membantu dan memperkemas sistem dalam menggerakkan kepakaran ahli akademik berpengalaman bagi membantu usaha kerajaan dalam agenda pembangunan negara dengan lebih lancar.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast