Muhamad Faisal Abdul Aziz.-foto NOOREEZA HASHIM, 29 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi tepat dengan keperluan semasa dan masa depan negara untuk memupuk kesederhanaan dalam kalangan generasi muda Muslim.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, modul yang akan diperkenalkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) itu tidak seharusnya dipolemikkan.

Katanya, penerapan modul himpunan 40 hadis Imam Nawawi itu secara langsung dapat menjadi kunci untuk memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini dapat terus dipelihara.

“Hadis 40 yang dikumpulkan Imam Nawawi mencakupi penerapan nilai-nilai murni serta akhlak mulia berdasarkan sumber rujukan serta autoriti yang jelas daripada hadis-hadis yang sahih.

“Ini sekaligus dapat membasmi fahaman melampau dalam beragama daripada berleluasa di negara ini kerana ia tidak disandarkan pada apa-apa autoriti agama yang kukuh,” katanya dalam kenyataan.

Muhammad Faisal berkata, kedudukan Islam sebagai agama persekutuan bukan hanya bersifat ritual, tetapi mencakupi sebagai “agama dan cara hidup sempurna” umat Islam di Malaysia.

“Justeru Abim menggesa semua pihak berlapang dada serta menghormati inisiatif kerajaan khususnya dalam membawa pendidikan Islam yang sememangnya sejajar dengan nilai-nilai murni masyarakat kita,” katanya lagi.

Sebelum ini Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) menyatakan “kebimbangan mendalam” terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam perlu mempelajari modul itu juga.

Ini berikutan laporan media bahawa modul tersebut akan diperkenalkan kepada sekolah awam.

Kementerian Pendidikan hari ini menjelaskan ia akan diajar kepada pelajar Islam sahaja.

Dibangunkan atas saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, modul itu dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada 19 Ogos lalu dan bertujuan memupuk nilai-nilai sabda atau hadis Nabi Muhammad di peringkat sekolah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast