Skim Insurans Am Selangor (INSAN). Foto AFFAN FAUZI

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Selangor mendesak pihak berkuasa agar menyiasat Skim Insuran Am Selangor (Insan).

Ia susulan wujud beberapa persoalan besar yang perlu dirungkai mengenai skim berkenaan yang didakwa melakukan pendaftaran secara automatik terhadap pengundi di Selangor.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar mahu status syarikat WavPay Fintech Holding Sdn Bhd yang menguruskan projek tersebut yang dimiliki oleh syarikat swasta CT Frank Technology diperjelaskan.

Penjelasan juga diperlukan terhadap kedudukan bekas Exco Selangor Datuk Teng Chang Khim selaku pengarah WavPay yang didakwa wujud pertembungan kepentingan peribadi.

Mohamed Sukri turut menuntut penjelasan yang telus kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari semalam tidak selari dengan kenyataan Chang Khim sebelum ini.

“Contohnya kenyataan oleh Tang Cheng Khim pada 2022 yang menggambarkan seolah-olah skim ini perlu dimohon, namun hal ini bertentangan dengan kenyataan Amirudin Shari yang menyatakan skim ini baru pada peringkat ‘prapendaftaran’ yang aktif apabila diisi sendiri oleh rakyat,” katanya.

Pemuda PAS Selangor turut menempelak jawapan Amirudin yang menafikan kebocoran data serta dakwaan rakyat didaftarkan tanpa izin dengan menyatakan pendaftaran automatik dibuat dengan status ‘pra pendaftaran’.

Ini kerana status skim berkenaan telah aktif pada sekitar akhir tahun 2022 dan dijadualkan tamat 2023.

“Sebagai satu produk kewangan, skim insuran ini tidak boleh didaftarkan secara paksa tanpa izin dan pengetahuan penerima manfaat. Ini merupakan satu kesalahan jelas di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010,” katanya.

Mohamed Sukri menasihatkan orang ramai yang mendapati nama mereka tersenarai dalam skim insuran tanpa izin untuk membuat laporan polis sebagai langkah melindungi keselamatan data peribadi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast