KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) digesa menyegerakan keputusan representasi yang dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum pihak pembelaan memanggil lebih ramai saksi untuk kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi.
Sehingga hari ini, pasukan pembelaan Ahmad Zahid belum menerima jawapan daripada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bagi pertimbangan agar semua 47 pertuduhan yang dihadapinya dikaji semula.
“Kami memohon keadilan diberikan kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi memastikan kos dan masa dapat dijimatkan oleh kedua-dua pihak,” kata pasukan pembelaan yang diwakili Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Hamidi Mohd Noh.
Pada prosiding 1 Ogos lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, pihak pembelaan memaklumkan representasi Ahmad Zahid masih belum diputuskan kerana AGC masih menunggu hasil siasatan lanjut berhubung fakta dan bukti baharu yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.
Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan AGC, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan siasatan masih dijalankan oleh pasukan petugas khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihaknya menunggu maklum balas sebelum memutuskan representasi berkenaan.
Ahmad Zahid kini membela diri terhadap 47 tuduhan iaitu 12 kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya dan telah memanggil 15 orang saksi untuk memberikan keterangan.
Pada prosiding April lalu, pendakwaan mengesahkan menerima representasi itu dan menyatakan pihaknya memerlukan masa dilanjutkan kerana permohonan itu turut dikepilkan surat daripada SPRM bertarikh 20 Februari lalu yang menyatakan agensi tersebut menjalankan siasatan lanjut berhubung bukti baharu dikemukakan oleh pembelaan. – MalaysiaGazette