KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuskan ucapan tahniah kepada India berikutan kejayaan negara itu melakukan pendaratan di kutub selatan bulan.
Menurut Anwar, Malaysia berbangga dengan pencapaian yang dilakukan India dan menganggap kejayaan itu bukan sahaja milik negara tersebut tetapi juga cerminan terhadap Asia.
“Mengutuskan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri India Narendra Modi dan rakyat Republik India atas kejayaan mendaratnya pesawat ruang angkasa India Chandrayaan-3 semalam di kutub selatan bulan yang belum pernah diterokai manusia.
“India kini telah menawan bulan, dan saya melihat kejayaan ini tidak hanya kejayaan India semata tetapi juga kejayaan buat Asia dan segenap warganya.
“Malaysia turut berbangga atas pencapaian ini dan ternyata ini adalah The Asian Century. Tahniah India!” kata Anwar dalam kenyataan.
India menjadi negara pertama mendaratkan kapal angkasa di kutub selatan bulan yang sebahagian besarnya belum diterokai, pada hari Rabu.
Misi ke bulan Chandrayaan-3 telah dilancarkan pada 14 Julai lalu.
Modul pendaratnya terpisah daripada sistem pendorongan beberapa hari dan pendaratan “lancar”, atau terkawal, bermula pada 5.44 petang waktu India pada Rabu.-MalaysiaGazette