JOHOR BAHRU – Calon Parti Amanah Negara, (Amanah), Nazri Abdul Rahman untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram percaya statusnya sebagai anak jati kawasan tersebut akan memberi kelebihan kepada beliau pada Pilihan Raya Kecil yang akan diadakan pada 9 September ini.

Nazri berkata, beliau akan memberi fokus membantu rakyat dan meneruskan rancangan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub khususnya melibatkan menu Rahmah sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat.

“Saya adalah anak jati Simpang Jeram dekat 56 tahun. Sudah pasti saya yakin mereka (penduduk ) sekitar gembir dengan pemilihan saya memandangkan saya tahu selok belok kawasan di sini,” katanya.

Sementara itu, calon kerusi Parlimen Pulai dari Amanah, Suhaizan Kayat berkata, beliau mahu menggunakan pengalaman sebagai Setiausaha Politik kepada Allahyarham Salahuddin untuk meneruskan khidmat kepada penduduk di kawasan tersebut.

Menurutnya, sebagai Setiausaha Politik, beliau menyusun aktiviti turun padang dan menemani Allahyarham Salahuddin setiap kali aktiviti diadakan.

“Selain itu, saya turut menjadi wakilnya di kawasan menerima pelbagai aduan masyarakat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. – MalaysiaGazette