Keadaan motosikal barista hotel yang maut selepas terbabas dalam kemalangan yang berlaku di lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan menghla KL pagi tadi. Ihsan IPD PJ

PETALING JAYA – Seorang lelaki maut hari ini selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di kilometer 32 Lebuhraya Persekutuan berhampiran Naza Auto Mall, di sini

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya yang menerima laporan mengenai insiden itu pada jam 9.21 pagi mengerahkan ke pegawai penyiasat dan mendapati kemalangan di lebuh raya tersebut membabitkan sebuah motosikal menghala ke Kuala Lumpur.

Menurut beliau, mangsa yang bekerja sebagai barista di sebuah hotel di ibu kota telah hilang kawalan sebelum motosikal Honda ADV160 yang ditungganginya terbabas dan melanggar penghadang jalan sebelah kiri lorong motosikal itu.

Katanya, dalam kejadian jam 8.42 pagi mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan.

“Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala mayat mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Fakhrudin meminta orang ramai yang mempunyaui maklumat berhubung insiden itu menyalurkannya di balai berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Hafeez Faesal A.Aziz di talian 011-32311232. – MalaysiaGazette