Mohamad melihat pameran barangan selepas merasmikan Majlis Perasmian ShowTech Institut Penyelidikan dan kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), di Taman Ekso Agro Malaysia Serdang (MAEPS) sini, hari ini.

SERDANG – Kerajaan belum memutuskan untuk menyekat kemasukan makanan bersumberkan hidupan laut dari Jepun susulan pelepasan sisa air radioaktif terawat dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kajian sedang dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) dan pakar alam sekitar bagi menilai risiko sebelum sebarang pendirian dibuat.

“Setakat ini belum buat keputusan (menyekat) dan pendirian akan dibuat sekiranya kajian menunjukkan bahaya kepada penduduk di dunia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Show-tech MARDI anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di sini hari ini.

Media melaporkan beberapa negara antaranya China dan Hong Kong mengambil keputusan untuk menyekat kemasukan makanan laut dari Jepun susulan pelepasan air radioaktif terawat.

Sementara itu, Mohamad berkata, fokus kerajaan adalah pada keterjaminan bekalan makanan khususnya beras, memandangkan negara seperti India dan Vietnam telah memberi amaran awal akan menaikkan harga atau lebih membimbangkan, menghentikan eksport.

Katanya, persediaan awal mesti dibuat untuk mencukupkan bekalan beras menerusi teknologi baharu dan penyelidikan, susulan kebergantungan import beras negara ketika ini adalah sebanyak 35 peratus.

Dalam pada itu, Mohamad memberitahu, projek rintis tanaman bawang akan diperluas ke seluruh negara mulai 2025 ke arah usaha keterjaminan makanan negara.

“Setakat ini kita bergantung 100 peratus bekalan bawang daripada luar negara jadi pada tahun 2025 bawang akan ditanam secara komersial di ladang-ladang yang akan dikenal pasti,” ujarnya.

Mohamad berkata, pihaknya turut tidak meletakkan sasaran terhadap kebergantungan bekalan bawang import.

“Jika kita tanam banyak, dapat kurang banyaklah,” katanya.

MARDI telah berjaya menghasilkan tiga varieti bawang merah iaitu BAW-1, BAW-2, BAW-3 yang mana Perak dipilih sebagai hub penanaman bawang merah tanah rendah di negara ini.

“Projek rintis ini masih dalam peringkat permulaan dan bergantung kepada lulusan tanah dari kerajaan negeri,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast