KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, lawatan rasminya ke Iran yang berakhir pada Rabu lalu adalah manifestasi dasar diplomasi aktif yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, lawatan selama empat hari itu adalah lawatan peringkat tinggi Menteri Luar Malaysia ke Iran yang pertama selepas tujuh tahun dengan kali terakhir adalah pada 2016.
“Ia juga merupakan usaha serius dan berterusan Malaysia untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala dengan semua negara Islam termasuk Iran. Ini berikutan dengan perkembangan geopolitik positif yang berlaku di rantau Asia Barat sejak kebelakangan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Semasa lawatan berkenaan, Zambry mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin tertinggi Iran termasuk Presiden Seyyed Ebrahim Raisi; Speaker Parlimen Mohammad Bagher Ghalibaf serta rakan sejawatannya Dr Hossein Amir Abdollahian.
Beliau turut bertemu dengan Menteri Informasi, Komunikasi dan Teknologi; Menteri Industri, Perlombongan dan Perdagangan; Menteri Sains, Penyelidikan dan Teknologi serta Menteri Pertanian Jihad Iran.
Zambry berkata, Presiden Iran turut mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri semasa pertemuan berkenaan dan Raisi menyambut baik langkah Malaysia untuk mempertingkatkan hubungan dua hala dengan Iran.
“Sebagai dua negara Islam yang berpengaruh, Malaysia dan Iran berpotensi memainkan peranan yang signifikan dalam isu-isu global yang memberi impak kepada umat Islam terutamanya dalam menangani isu Islamofobia secara bersama,” katanya dan menambah kedua-dua pemimpin turut memanjangkan jemputan untuk mengadakan lawatan rasmi ke negara masing-masing.
Menurut Zambry, lawatan ke Iran itu juga bertujuan mengembangkan lagi akses pasaran eksport komoditi dan produk buatan Malaysia ke negara-negara bebas Komanwel (CIS).
Katanya, kedudukan strategik Iran yang berkongsi sempadan dengan 15 negara lain berpotensi menjadi hab utama bagi eksport komoditi negara terutamanya produk minyak sawit yang merupakan 70 peratus daripada jumlah dagangan Malaysia dengan Iran.
“Selain itu, saya telah menyentuh mengenai isu keterjaminan makanan (food security) di mana Iran merupakan contoh sebuah negara yang berupaya untuk kekal mandiri dalam memastikan bekalan makanan mereka sentiasa berada pada kadar yang optimum,” katanya.
Beberapa perkara penting lain turut dicapai dalam lawatan berkenaan antaranya mengembangkan potensi kerjasama dua hala di dalam pelbagai bidang yang akan diperhalusi melalui Joint Commission Meeting (JCM) dan Joint Economic Commission (JEC); dan meneroka peluang kerjasama baharu dalam bidang sains dan teknologi, farmaseutikal, bioteknologi, nanoteknologi, peralatan perubatan dan penyelidikan berkaitan pembangunan vaksin.
Perkara lain termasuk kerjasama dalam bidang keterjaminan makanan terutamanya aktiviti penyelidikan dan industri halal; meneroka jaringan perhubungan udara yang lebih praktikal dan efisyen di antara dua negara; dan meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan turut diberi keutamaan.
Lawatan kali ini berjaya membuka lembaran baharu hubungan dua hala di antara Malaysia dan Iran serta hubungan Malaysia dengan rantau Asia Barat, kata Zambry. – MalaysiaGazette